Sunday 2 October 2011

GULA

BERAPA kali anda berjumpa doktor gigi dalam setahun? Anda sudah terlalu lama tidak berjumpa doktor gigi, mungkin 10 tahun atau 15 tahun lalu ketika ingin menampal gigi geraham yang berlubang atau mencabut gigi yang goyang.

Kebanyakan kita cuma bertemu doktor gigi apabila sakit gigi. Bagi penduduk Asia, membuat pemeriksaan gigi dianggap tidak penting. Ramai tidak faham perlunya menjalani pemeriksaan gigi secara berkala enam bulan sekali.

Mengapa kita perlu berjumpa doktor gigi? Ini kerana semuanya bermula dari mulut kita iaitu untuk makan dan minum.

Gigi berperanan mengunyah makanan dengan sempurna bagi memudahkan penghadaman serta menjadikan pertuturan kita jelas.


Barisan gigi yang tersusun rapi serta putih mampu menyerikan senyuman dan mengindahkan penampilan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri.


Penjagaan gigi yang baik boleh mencegah masalah seperti karies (kerosakan gigi), penyakit periodontal (penyakit gusi) dan gigi yang tidak teratur.

Gula ialah punca utama karies. Gemar mengambil makanan mengandungi gula menyebabkan pembiakan bakteria di dalam mulut.

Perunding Pergigian Am Pusat Perubatan Prince Court, Dr Janmeet Kaur berkata, bakteria suka pada gula yang menyebabkan berkumpulnya plak iaitu lapisan yang sentiasa terjadi di permukaan gigi mengandungi bakteria, air liur, protein dan gula.

“Kita tidak tahu apa berlaku pada mulut kita. Bakteria dan plak boleh melekat pada gigi dan gusi. Menikmati makanan mengandungi banyak gula akan menyebabkan banyak bakteria dalam mulut.

“Antara masalah kesihatan mulut ialah gigi patah, kaviti, bengkak gusi atau gigi berubah warna hitam atau kelabu, jangkitan gusi, jangkitan fungus di mulut dan daki putih pada lidah.

“Halitosis ialah mulut berbau akibat gigi tidak digosok dengan sempurna dan sisa makanan tertinggal lama di celah gigi, manakala mulut kering pula menyebabkan masalah gusi,” katanya.


Bagaimana menjaga kesihatan gigi dan gusi?

1. Jumpa doktor gigi enam bulan sekali
2. Lakukan memberus gigi dengan betul dan gosok gigi dua kali sehari
3. Bilas/berkumur mulut selepas makan
4. Banyakkan minum air, terutama bagi pesakit diabetes
5. Elak makan gula atau buahan yang bergula antara waktu makan sebenar
6. Bersihkan sisa makanan yang terselit di celah gigi dengan benang flos

Jika tidak dirawat, gingivitis iaitu inflamasi gusi yang menjadi bengkak dan berdarah dengan mudah disebabkan plak pada leher gigi boleh menyebabkan penyakit gusi. Penyakit ini boleh berjangkit kepada ahli keluarga melalui air liur.

“Doktor gigi boleh mengesan banyak masalah berkaitan kesihatan mulut. Kesihatan mulut penting diberi perhatian sama seperti kita perlu mandi setiap hari untuk membersihkan tubuh.

“Wanita hamil perlu berjumpa doktor gigi untuk menjalani pemeriksaan gigi kerana jika gigi mereka tidak digosok dengan betul akan menyebabkan kekotoran di mulut.

“Apabila hormon tinggi, wanita hamil mudah mendapat sakit gusi, misalnya pendarahan gusi,” katanya.

Pemeriksaan pergigian secara berkala sebanyak enam bulan sekali dapat mengelakkan gigi rosak, sekali gus terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk menanam gigi atau gigi palsu.

No comments:

Post a Comment