Sunday 2 October 2011

GULA

BERAPA kali anda berjumpa doktor gigi dalam setahun? Anda sudah terlalu lama tidak berjumpa doktor gigi, mungkin 10 tahun atau 15 tahun lalu ketika ingin menampal gigi geraham yang berlubang atau mencabut gigi yang goyang.

Kebanyakan kita cuma bertemu doktor gigi apabila sakit gigi. Bagi penduduk Asia, membuat pemeriksaan gigi dianggap tidak penting. Ramai tidak faham perlunya menjalani pemeriksaan gigi secara berkala enam bulan sekali.

Mengapa kita perlu berjumpa doktor gigi? Ini kerana semuanya bermula dari mulut kita iaitu untuk makan dan minum.

Gigi berperanan mengunyah makanan dengan sempurna bagi memudahkan penghadaman serta menjadikan pertuturan kita jelas.


Barisan gigi yang tersusun rapi serta putih mampu menyerikan senyuman dan mengindahkan penampilan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri.


Penjagaan gigi yang baik boleh mencegah masalah seperti karies (kerosakan gigi), penyakit periodontal (penyakit gusi) dan gigi yang tidak teratur.

Gula ialah punca utama karies. Gemar mengambil makanan mengandungi gula menyebabkan pembiakan bakteria di dalam mulut.

Perunding Pergigian Am Pusat Perubatan Prince Court, Dr Janmeet Kaur berkata, bakteria suka pada gula yang menyebabkan berkumpulnya plak iaitu lapisan yang sentiasa terjadi di permukaan gigi mengandungi bakteria, air liur, protein dan gula.

“Kita tidak tahu apa berlaku pada mulut kita. Bakteria dan plak boleh melekat pada gigi dan gusi. Menikmati makanan mengandungi banyak gula akan menyebabkan banyak bakteria dalam mulut.

“Antara masalah kesihatan mulut ialah gigi patah, kaviti, bengkak gusi atau gigi berubah warna hitam atau kelabu, jangkitan gusi, jangkitan fungus di mulut dan daki putih pada lidah.

“Halitosis ialah mulut berbau akibat gigi tidak digosok dengan sempurna dan sisa makanan tertinggal lama di celah gigi, manakala mulut kering pula menyebabkan masalah gusi,” katanya.


Bagaimana menjaga kesihatan gigi dan gusi?

1. Jumpa doktor gigi enam bulan sekali
2. Lakukan memberus gigi dengan betul dan gosok gigi dua kali sehari
3. Bilas/berkumur mulut selepas makan
4. Banyakkan minum air, terutama bagi pesakit diabetes
5. Elak makan gula atau buahan yang bergula antara waktu makan sebenar
6. Bersihkan sisa makanan yang terselit di celah gigi dengan benang flos

Jika tidak dirawat, gingivitis iaitu inflamasi gusi yang menjadi bengkak dan berdarah dengan mudah disebabkan plak pada leher gigi boleh menyebabkan penyakit gusi. Penyakit ini boleh berjangkit kepada ahli keluarga melalui air liur.

“Doktor gigi boleh mengesan banyak masalah berkaitan kesihatan mulut. Kesihatan mulut penting diberi perhatian sama seperti kita perlu mandi setiap hari untuk membersihkan tubuh.

“Wanita hamil perlu berjumpa doktor gigi untuk menjalani pemeriksaan gigi kerana jika gigi mereka tidak digosok dengan betul akan menyebabkan kekotoran di mulut.

“Apabila hormon tinggi, wanita hamil mudah mendapat sakit gusi, misalnya pendarahan gusi,” katanya.

Pemeriksaan pergigian secara berkala sebanyak enam bulan sekali dapat mengelakkan gigi rosak, sekali gus terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk menanam gigi atau gigi palsu.

HAID

pix_middle
pix_topright

RAMAI wanita sering menganggap kitaran haid tidak teratur sebagai perkara biasa dan tidak diberi perhatian serius. Malangnya, masalah berkenaan mungkin menjadi punca kesukaran untuk menimang cahaya mata kelak.

Menurut Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari, kitaran haid yang tidak menentu antara gejala menunjukkan seseorang wanita itu mungkin mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS), punca lazim menyebabkan seseorang itu kurang subur.

“PCOS adalah satu keadaan penyakit sistem reproduksi yang berlaku ketidakseimbangan hormon dalam badan yang memberi kesan terhadap kitaran haid dan ovulasi. Kajian menunjukkan 90 peratus wanita yang mengalami haid tidak teratur mengalami PCOS dan 30 peratus yang tidak mengalami haid langsung didapati mengidap PCOS.

“Ia adalah masalah paling lazim yang menyebabkan seseorang wanita itu gagal hamil, tetapi malangnya sehingga kini tidak ramai yang menyedarinya.


“Bahkan ramai antara wanita di Malaysia mempunyai gejala ini tanpa disedari kerana ia tidak menunjukkan simptom awal misalnya sakit atau deman yang biasa berlaku seperti penyakit lain.


“Bahkan gadis seusia awal 17 tahun juga boleh dijangkiti PCOS. Selain kitaran haid tidak teratur gejala seperti jerawat, kenaikan berat badan serta pertumbuhan bulu roma yang luar biasa antara simptom awal gejala ini,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, PCOS boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti dari ovari, seterusnya menyebabkan wanita berkenaan mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan boleh mengganggu sistem badan yang lain seperti metabolisme dan sistem kardiovaskular.

“Punca PCOS masih belum diketahui sepenuhnya dan penyelidikan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar. Antara tanda utama PCOS termasuklah tiada ovulasi, ovari yang bengkak yang mengandungi sista kecil di dalamnya.

“Kebanyakan gejala ini berlaku pada wanita berusia 20 hingga 30 tahun tanpa mengira kaum dan budaya. Ia juga kerap terjadi di kalangan sanak saudara tetapi bukan penyakit keturunan,” katanya.

Meskipun ovari mengandungi folikel dengan telur, folikel berkenaan tidak membesar dan matang sepenuhnya untuk menggalakkan ovulasi. Ovari yang tidak bermasalah biasanya menghasilkan satu folikel matang setiap bulan sebelum dikeluarkan bagi proses persenyawaan di saluran falopia.

Begitu pun, ada juga wanita yang mempunyai penampilan ovari normal, tetapi mempunyai gejala lain. Pada dasarnya ovari yang bermasalah ini juga hiperandrogenik, iaitu ovari menghasilkan jumlah hormon lelaki testosterone dan androstenedione berlebihan.

Ini menyebabkan hirsutism atau pertumbuhan bulu yang tidak sepatutnya seperti pada atas bibir dan dagu (misai dan janggut). Ada kalanya keadaan ini juga menyebabkan penambahan berat badan, diabetis dan penyakit kardiovaskular.

Kajian antarabangsa menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada wanita yang berusia melebihi 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih daripada 40 peratus wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.

Ramai wanita mengalami gejala atau simptom yang berbeza antara satu sama lain menyebabkan diagnosa secara klinikal menjadi sukar dilakukan.

Ada juga yang mempunyai simptom ringan seperti jerawat kecil selain simptom lebih teruk seperti tumbuh bulu berlebihan pada muka serta keguguran rambut.



SOALAN LAZIM


Siapa yang berisiko mendapat PCOS

Sesiapa boleh mendapat PCOS tanpa mengira peringkat usia namun kekerapan berlaku lebih kepada wanita berusia 20 hingga 30 tahun. Keturunan turut menjadi penyumbang kepada gejala berkenaan.


Apakah punca PCOS?

Setakat ini tidak diketahui bagaimana ia berlaku tetapi terdapat beberapa teori yang hangat diperkatakan antaranya :


Kekurangan hormon

Ia mungkin disebabkan kekurangan hormon kerana mereka yang mengidap PCOS didapati tidak mengandungi tahap hormon yang secukupnya untuk ovulasi berlaku. Untuk berlaku ovulasi, hormon FSH dan LH mestilah berada dalam keadaan yang seimbang tetapi ia tidak berlaku pada mereka yang mengidap PCOS. Oleh yang demikian, folikel didalam ovari tidak berkembang dan gagal matang seterusnya tiada berlaku ovulasi.


Kebal kepada insulin

PCOS mungkin juga disebabkan oleh badan yang kebal kepada insulin.ini menanmbahkan lagi risiko anovulasi.


Faktor genetik

Ia mungkin disebabkan oleh penyakit keturunan kerana terdapat ramai dikalangan PCOS mempunyai keluarga yang mengidap gejala sama.


Bagaimana mahu mengetahui gejala ini pada diri sendiri?

Sekiranya anda didapati sukar untuk hamil, doktor selalunya akan membuat beberapa ujian untuk memberikan diagnosa yang tepat terhadap masalah anda:

  • Ujian darah Luteinizing Hormone (LH)

  • Ujian darah Follicle Stimulating Hormone(FSH)

  • Ujian darah Progesterone/Testesterone

  • Ujian darah prolaktin

  • Ultrasound Pelvis- rahim dan ovari


    Bagaimana merawat masalah ini?

  • Sekiranya anda didiagnosakan mempunyai PCOS, terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh menolong anda mengurangkan simtom dan mengembalikan kesuburan anda.


    Ubat subur

    Adalah ubat kesuburan yang boleh menolong mengalami ovulasi.


    Ubat perancang keluarga

    Pil ini boleh mengembalikan semula hormon anda dan mengurangkan simptom seperti mengurangkan bulu yang berlebihan dan haid yang tidak teratur. Pil ini selalunya diberikan bagi mereka yang tidak bercadang untuk hamil.


    Pembedahan

    Sekiranya anda mengalami PCOS dan ubat subur tidak memberikan kesan yang memuaskan, doktor anda mungkin mencadangkan prosedur yang dinamakan ovarian drilling. Ia adalah sejenis pembedahan menyebabkan ovari akan dikorek menggunakan alat khas. 70 peratus wanita mengalami ovulasi selepas menjalani prosedur ini.


    Mengenai PCOS

  • Diagnosa PCOS boleh dibuat dengan menjalani ujian darah LH/FSH pada hari kedua atau ketiga haid, ujian tahap testosterone dan imbasan ultrasound.

  • PCOS memberikan wanita lebih risiko untuk mendapat masalah infertiliti disebabkan anovulasi, kencing manis, tekanan darah dan kolesterol yang tinggi, kegemukan dan masalah kanser rahim.

  • PCOS adalah penyakit yang akan dialami seumur hidup dan setakat ini tiada ubat yang boleh mencegahnya. Jarang-jarang, ia hilang dengan sendirinya.

  • Rawatan bergantung kepada wanita sama ada berhasrat untuk hamil atau tidak. Ubatan termasuklah pil hormon dan ubat subur.


    Simptom sindrom ovari polisistik (PCOS)

  • Masalah jerawat.

  • Kitaran haid tidak menentu.

  • Hirsutism - pertumbuhan bulu roma yang tidak normal (seperti misai atau janggut).

  • Masalah berat badan - berat badan bertambah ataupun bahagian atas badan lebih besar atau gemuk daripada bahagian bawah.

  • Ovari lebih bengkak daripada wanita lain dan mempunyai lebih daripada satu cista.

  • Keguguran rambut.

  • Kurang subur.

  • l Sukar hamil


    Rawatan: Terbahagi kepada tiga, iaitu :

  • Ubat - pengambilan ubat seperti Clomid dan suntikan HCG untuk membantu proses ovulasi. Sesuai digunakan untuk wanita yang langsing dan hanya boleh dilakukan bagi tempoh enam bulan sekali atau enam kali saja.

  • Surgeri - pembedahan Laparoscopic Ovarian Drilling yang mana ovari akan ditebuk supaya sista kecil dihapuskan dan ovari lebih senang distimulasikan untuk menghasilkan telur dan ovulasi.

  • In vitro fertilisation (IVF) - jika masih tidak mengandung selepas menjalani semua rawatan tadi, pasangan perlu mempertimbangkan teknik permanian IVF.

  • EHSAN: HMETRO
  • PUNCA KAKI SAKIT

    SECARA purata, setiap orang akan berjalan sejauh 184,000 kilometer sepanjang hayatnya. Setiap langkah yang diambil ketika berjalan akan menghasilkan tekanan sebanyak tiga kali ganda berat badan kepada kaki kita.

    Ketika berlari pula, tekanan akan bertambah menjadi 10 kali berat badan kita.
    Pemakaian kasut yang ketat dan keras, kasut tumit tinggi, pemakaian stokin dan kasut yang kedap udara dan berdiri berjam-jam akan menyebabkan kulit dan 26 tulang, otot kecil dan ligamen pada setiap kaki kita tidak mampu menanggung beban tekanan itu.


    Banyak penyakit atau masalah kaki bersangkut paut dengan pemilihan kasut, terutama di kalangan wanita. Menurut kajian Persatuan Kaki dan Sendi Buku Lali Amerika (AOFAS), 80 peratus mempunyai masalah sakit pada kaki.

    Ini tidak menghairankan kerana lebih 88 peratus daripada mereka memakai kasut bersaiz lebih kecil daripada saiz kaki. Kasut yang terlalu ketat, terlalu longgar, terlalu kedap udara dan bentuk kasut yang tidak semula jadi boleh menyebabkan atau menggalakkan masalah kaki seperti berikut:



    Sakit kaki pada wanita (a woman’s aching feet)


    Hampir separuh daripada wanita mempunyai pengalaman sakit berdenyut-denyut pada kaki. Mungkin ia disebabkan terlalu lama berdiri atau berjalan, tetapi punca utama disebabkan pemakaian kasut yang tidak sesuai. Masalah ini akan bertambah kerap dialami wanita lebih tua kerana ketebalan lapisan lemak pada tapak kaki yang bertindak sebagai kusyen semakin menipis mengikut usia.



    Kaki atlet (athlete’s foot)


    Walaupun namanya begitu, keadaan ini tidak terhad hanya kepada golongan pelari jarak jauh atau atlet lain. Rasa gatal, sakit seperti terbakar dan kulit menggelupas yang selalu terjadi pada celah jari atau tapak kaki ialah gejala Kaki Atlet. Ini berpunca daripada jangkitan mikroskopi kulat yang dipanggil Trichophyton mentagrophytes.

    Organisma ini membiak pada permukaan bilik air yang hangat dan lembab, stokin yang menyebabkan peluh yang banyak dan kasut yang ketat.



    Kulit melepuh (blisters)


    Kasut yang terlalu longgar atau terlalu ketat atau permukaan kasut atau stokin yang kasar akan menyebabkan kulit bergesel dan cedera. Kulit yang sensitif akan bertindak balas dengan pembentukan kusyen berair pada kulit iaitu melepuh.
    Kawasan kulit ini radang dan menyakitkan ketika berjalan. Kulit melepuh akan sembuh jika dijaga dengan bersih dan geselan pada kulit dihentikan.



    Bunion


    Bunion ialah bengkak yang menyakitkan pada pangkal ibu jari kaki. Ini terjadi disebabkan oleh ibu jari tertolak keluar daripada kedudukan normal. Geselan bengkak pada kasut menyebabkan kulit mendapat radang dan menyakitkan. Satu kajian AOFAS menunjukkan 71 peratus wanita mempunyai masalah bunion. Pemakaian kasut yang ketat selalu dikaitkan dengan masalah bunion.



    Corn dan calluses


    Kulit kita akan melindungi dirinya daripada geseran dan tekanan berulang dengan membentuk lapisan keras daripada sel kulit pada bahagian di mana gangguan berlaku. Bila ini berlaku pada kulit di atas atau celah jari kaki, sel kulit membentuk bengkak bulat keras dipanggil ‘corn’ sementara sel kulit keras dan tebal yang terbentuk pada tapak kaki dipanggil ‘calluses’. Secara purata, calluses ditemui pada 14 peratus orang dewasa dan ‘corn’ pada sembilan peratus orang dewasa, terutama wanita.



    Jari kaki tukul (hammertoes)


    Apabila satu jari kaki yang lebih kecil membentuk seperti sepit, ia dipanggil ‘hammertoe’. Ketidakjajaran sendi kaki atau masalah otot atau saraf di kaki menyebabkan jari kaki melengkuk dan bukan lurus. ‘Hammertoes’ cenderung untuk berlaku pada mereka yang menghidap diabetes. Memakai kasut yang terlalu pendek atau kecil juga boleh menyebabkan masalah ini.



    Sakit tumit (heel pain)


    Tapak kaki rata, tapak kaki terlalu melengkuk atau aktiviti fizikal seperti berlari boleh mencetuskan radang dan kesakitan pada ligamen fascia plantar pada tapak kaki, iaitu keadaan yang dipanggil Plantar Faciitis.

    Sakit fasciitis plantar biasanya dicirikan oleh sakit pada langkah pertama berjalan pada hari berkenaan atau selepas tempoh lama tidak berpijak.
    Peregangan otot kaki dan memakai kasut yang padan saiznya boleh membantu untuk mengelak masalah ini. Fasciitis Plantar juga boleh membawa kepada klasifikasi seterusnya pembentukan taji tumit pada titik di mana fascia melekat ke tumit.

    Kedua-dua fasciitis plantar dan taji tumit terjadi mungkin kerana kasut yang kurang sesuai, peningkatan dalam aktiviti fizikal secara tiba-tiba, atau tekanan pada kaki disebabkan pertambahan berat badan secara tiba-tiba.

    Gabungan kasut ortotik, regangan dan urutan serta mengambil ubat anti-keradangan seperti ibuprofen mampu untuk merawat masalah ini.



    Membeli kasut


    Kasut bertumit tinggi dan hujung runcing ialah musuh semula jadi kaki anda.
    Walaupun kasut tumit tinggi boleh membuatkan kaki anda kelihatan panjang dan anggun, ia juga meningkatkan tekanan pada jari kaki dan mengganggu keseimbangan badan ketika berjalan. Pastikan anda menggunakan kasut tumit tinggi pada tahap minimum, dan memilih memakai kasut yang lebih rendah tumitnya.

    Minimumkan kecederaan kaki berkaitan aktiviti yang kita lakukan dengan memakai kasut tertentu. Kasut latihan (cross trainers) yang baik memadai untuk aktiviti sukan yang kita sertai.

    Kasut sukan boleh dipakai setiap hari untuk keselesaan. Bagaimanapun, kasut akan kehilangan kesan kusyen dari semasa ke semasa dan ia perlu diganti jika lapisan kusyen tidak lagi melantun kembali apabila kita menekan di atasnya.

    Kasut harus mempunyai pengaliran udara yang baik, kain yang poros atau kasut yang berlubang untuk pengudaraan supaya kaki kita tidak kepanasan. Hujung kasut hendaklah lebih lebar dan membulat, bukan meruncing kerana ia lebih mengikut bentuk semula jadi kaki kita.

    Tapak kasut juga hendaklah lebih fleksibel untuk memudahkan kaki melangkah dan tapak hendaklah mempunyai rekaan yang dapat mencengkam dengan baik pada setiap permukaan untuk mengelak tergelincir dan terjatuh.

    Bila kita mahu mengukur panjang kaki untuk menentukan saiz kasut, pastikan ia dilakukan pada waktu lewat petang kerana kaki kita lima hingga lapan peratus lebih besar berbanding awal pagi.

    Kedua-dua kaki hendaklah diukur kerana panjang kaki mungkin berbeza antara kaki kanan dan kaki kiri. Saiz kasut mestilah mengikut kaki paling besar dan ruangan jari hendaklah lebih kurang ½ inci antara hujung jari dan hujung kasut.

    Pastikan anda mencuba dulu kasut itu sebelum membelinya dengan berjalan-jalan dan kedua-dua kasut dipakai untuk merasai keselesaannya.

    Pastikan kasut yang hendak dibeli selesa kerana adalah merugikan jika fesyen kasut itu hebat tetapi kaki anda menderita kesakitan dan anda berjalan terhencut-hencut.

    Kasihanilah kaki anda kerana ia yang akan membawa anda ke tempat yang anda hendak pergi.

    EHSAN: HARIAN METRO